Thursday, 17 November 2011

 

 

 

 

Umat Islam Kemboja bangkit daripada kedaifan


Ramai yang pintar melanjutkan pelajaran ke Malaysia, jadi timbalan menteri dan YB

UMAT Islam di Kemboja hari ini nampaknya mula bangkit selepas dicengkam kekejaman rejim Pol Pot. Selama empat tahun Kemboja (1975-1979) di bawah pemerintahan komunis Khmer Rouge pimpinan Pol Pot, kira-kira setengah juta rakyatnya, Islam atau bukan, dewasa, wanita dan bayi dibunuh.
Itulah kekejaman komunis yang sepatutnya menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia untuk bersama bersyukur kerana masih bebas mengamalkan ajaran Islam secara aman dan damai. Pemerintahan komunis Khmer Rouge membunuh sesiapa saja yang beragama.
Malah dikatakan wujud perkampungan di Kemboja yang bukan saja tiada manusia hidup selepas kemasukan askar Khmer Rouge, bahkan haiwan juga tiada lagi bernyawa kerana semuanya dibunuh kejam oleh komunis Khmer Rouge.

Program Kembara Korban Bersama Penyampai IKIMfm pada 4 hingga 8 November lalu, 80 peserta rombongan berpeluang melawat lokasi bersejarah seperti tempat seksaan Toul Sleng (asalnya sekolah terkenal di tengah kota Phnom Penh) dan padang di pinggir kota Phnom Penh yang dipanggil ‘Killing Field’ (Padang Pembunuhan).

Di celah padang itu masih tertegak sebatang ‘pohon pembunuh’ yang digunakan askar komunis Phnom Penh untuk membunuh bayi dan anak kecil. Andai kata pokok itu boleh berbicara, pasti diceritakan bagaimana askar Khmer Rouge menghayunkan kepala bayi dan anak kecil ke pokok itu hingga tidak bernyawa.

Pasti menangis kesedihan pohon itu kerana kekejaman manusia. Pohon menangis bukan suatu yang asing dalam tradisi Islam kerana dalam sirah Nabawiyyah pernah menyebut bagaimana sepohon batang kurma yang pernah dijadikan tempat Rasulullah SAW berkhutbah menangis.
Diriwayatkan dari Abdullah ibn Umar: “Suatu ketika dulu Nabi SAW berkhutbah di atas sebatang kurma. Tatkala beliau telah membuat mimbar, maka beliau berpindah ke mimbar itu. Batang kurma itu pun menangis (dalam satu riwayat lain, kami mendengar seperti suara unta menangis). Maka Nabi SAW mendatanginya sambil meletakkan tangannya pada batang kurma itu (untuk menenangkannya).” – (Hadis riwayat Bukhari dan Tirmizi)

Di depan ‘pohon pembunuh’ itu juga bayi dibunuh dengan cara dilambung tinggi di udara lalu dilepaskan tembakan ke arah mereka oleh askar yang tiada peri kemanusiaan. Bayi tidak bernyawa itu kemudian disepak ke dalam satu lubang besar menempatkan mayat bayi tidak berdosa itu.

Apabila ditanya kepada pemandu pelancong kenapa askar Khmer Rouge sanggup memperlakukan sedemikian, jawab mereka, askar Kemboja itu tidak berhati perut.

Inilah yang dikatakan bagaimana besar pengaruh sesuatu ideologi terhadap manusia sehingga boleh menjadikan manusia hilang kewarasan akal apabila ketaksuban menguasai diri. Pemikiran askar itu telah dibasuh untuk mencapai matlamat ideologi komunis melahirkan masyarakat sama rata. Lantaran itulah Islam menyeru umatnya supaya bersederhana dalam setiap perkara kerana itulah yang terbaik.

Rombongan IKIMfm turut bertandang ke Kampong Keh dalam daerah Kampot, kira-kira 150 kilometer dari Phnom Penh. Perigi masih menjadi sumber utama air dan bekalan elektrik sekadar cukup untuk menerangi ruang utama rumah serta kawasan strategik lain.

Bilik darjah di sekolah masih menggunakan meja panjang dan bangku yang sekadar saja. Namun, mereka tetap tabah menuntut ilmu walaupun ada di sesetengah tempat di Kemboja khabarnya kelas diadakan di bawah rumah bertiang tinggi.

Anak Kemboja ramai yang pintar sehingga ada berjaya melanjutkan pelajaran ke Malaysia. Di sinilah pentingnya kerjasama umat Islam dalam membantu saudara seagama atas dasar peri kemanusiaan. Inilah sumbangan kerajaan Malaysia memberi pendidikan kepada umat Islam di negara penganut Islamnya minoriti.

Bagaimanapun, di sebalik kedaifan itu, ramai anak Kemboja berjaya bangkit serta bersaing dan ada sudah menjawat jawatan Timbalan Menteri, wakil rakyat, ada juga menjadi usahawan berjaya.

Melalui kerjasama IKIMfm dan EZQurban SdnBhd, 26 ekor lembu dikorbankan untuk majlis Korban di Kampong Keh yang diagihkan kepada penduduk termasuk di perkampungan Islam di luar Kampong Keh.

Ada yang bertanya kenapa perlu menyembelih binatang korban hingga ke Kemboja? Umat Islam di sana hanya menikmati daging lembu apabila ada pihak menganjurkan majlis korban dan kesempatan itu turut digunakan pasangan untuk melangsungkan perkahwinan serta mengadakan kenduri.